Ini adalah antara soalan psikometrik yang menarik perhatian ramai calon. Soalan ini, pada pandangan saya, sering disalah anggap oleh sesetengah calon.

Ada yang fikir, kritikan terhadap negara sendiri adalah sikap yang negatif. Katanya, jika mengkritik, itu bermaksud kita tidak patriotik.

Tapi, adakah benar pemahaman ini?

Jawapannya, tentu sekali tidak.

Apa Yang Soalan Ini Cuba Uji?

Jika anda nak tahu, soalan ini bertujuan mengukur tahap keterbukaan calon. Ia ingin melihat bagaimana anda memandang sesuatu isu dengan pemikiran yang lebih mendalam dan bersedia untuk memberikan idea membina demi perubahan yang lebih baik.

Keterbukaan? Apa maksudnya?

Keterbukaan merujuk kepada sejauh mana seseorang itu bersikap ingin tahu, imaginatif, dan terbuka kepada pandangan atau idea baharu. Dalam konteks ini, ia ingin tahu sama ada anda melihat kritikan sebagai alat pembaikan atau ancaman kepada patriotisme.

Adakah Kritikan Bermaksud Benci?

Bayangkan situasi ini. Anda ada kawan baik, dan anda tahu dia ada kelemahan. Jika anda sayangkan dia, adakah anda akan membiarkan kelemahannya berlarutan, atau anda akan menegur dia supaya dia boleh menjadi lebih baik?

Sudah tentu, jika kita sayangkan seseorang, kita akan menegur dia dengan niat untuk membantu, bukan?

Sama juga dengan negara kita. Kritikan, bila dilakukan dengan niat yang baik, adalah tanda kita peduli dan ingin melihat negara ini berkembang ke arah yang lebih baik.

Kenapa Skor Keterbukaan Penting?

Keterbukaan ini penting untuk memastikan anda sesuai dengan keperluan pekerjaan tertentu. Contohnya:

  • Pekerjaan yang memerlukan inovasi (contohnya perancang bandar atau jurutera):
    Mereka perlu berfikir di luar kotak, mencari penyelesaian kreatif, dan bersedia menerima pandangan baharu. Skor keterbukaan yang tinggi sangat sesuai dalam konteks ini.
  • Pekerjaan dengan tugas rutin (contohnya kerani atau pengurus dokumen):
    Individu dengan keterbukaan rendah mungkin lebih sesuai, kerana mereka lebih fokus kepada struktur dan kurang memerlukan rangsangan baharu.

Apa Jika Jawapan Anda Tidak Seiring?

Bayangkan anda dipilih untuk kerja yang tidak sesuai dengan tahap keterbukaan anda. Apa kesannya?

  • Jika anda keterbukaan tinggi tetapi diberi tugas yang terlalu rutin, anda mungkin cepat bosan dan kurang berminat.
  • Sebaliknya, jika anda keterbukaan rendah tetapi diberi kerja yang memerlukan pemikiran kreatif, anda mungkin merasa tertekan kerana perlu sentiasa mencari idea baharu.

Jadi…

Soalan ini bukan untuk menilai sama ada anda betul atau salah. Ia hanya untuk mengenal pasti personaliti anda dan melihat sejauh mana keterbukaan anda sesuai dengan jawatan yang anda pohon.

Jika anda faham tujuan soalan ini, anda boleh menjawabnya dengan lebih yakin dan menonjolkan ciri yang paling sesuai dengan pekerjaan tersebut. Nak tahu lebih banyak soalan seperti ini? Muat turun DI SINI panduan kami untuk persiapan yang lebih mantap!

By Muhadis